2/23/2016

Gadis dilarang guna telefon bimbit

Sebuah kampung di Gujarat yang merupakan negeri kelahiran Perdana Menteri India, Narendra Modi melarang wanita bujang menggunakan telefon bimbit selepas beberapa pemimpin setempat menganggap teknologi itu mengg­anggu masyarakat.
Anggota Jawatankuasa Kampung Suraj di daerah Mehsana meluluskan satu resolusi awal Jumaat lalu untuk mengharamkan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja perempuan dan wanita muda.
“Pemimpin-pemimpin setempat bersetuju bahawa seperti juga arak, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan wanita belum berkahwin mengganggu masyarakat,” kata ketua kampung, Devshi Vankar sambil menambah, larangan serupa akan dikenakan terhadap remaja lelaki dalam masa terdekat.
Menurutnya, telefon bimbit menyebabkan wanita bujang leka dan lupa mengulang kaji pelajaran serta melakukan kerja rumah di kampung itu yang mempunyai 2,000 penduduk.
Golongan itu sekiranya ditangkap menggunakan atau memiliki telefon bimbit akan didenda sebanyak 2,100 rupee (RM126), menurut jawatankuasa berkenaan.
Wanita bujang bagaimanapun boleh bercakap menggunakan telefon bimbit ibu bapa dan saudara-mara mereka.
Larangan itu dikuatkuasakan pada mesyuarat berkenaan yang pada mulanya bertujuan membincangkan masalah ketagihan arak dalam kalangan penduduk di kampung itu.
– AFP


No comments:

Post a Comment